| Artikel
Motivasi Kecemerlangan Pelajar |
Pengenalan
Artikel ini
menjelaskan pengertian dan kepentingan mengulangkaji pelajaran serta bagaimana
dan bila ulangkaji harus dimulakan.
Pengertian Mengulangkaji
Mengulangkaji
adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami
dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan
pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan
maklumat-maklumat baru.
|
BAGAIMANA
MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara
yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:
-
Membaca dan
menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang.Ini
akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
-
Membaca buku
teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip,
isu dan fakta yang dimuatkan.
-
Menjawab soalan-soalan
latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda
menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
-
Mengkaji contoh-contoh
jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan
anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin
dan pantas.
-
Menjawab soalan-soalan
yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan
yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar
semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab
dengan yakin.
-
Bersoal jawab
bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama
ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa
yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian
yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan
pelajaran itu.
Tempoh
Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil
untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk
mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan
bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang
berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan
tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan
selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas
setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan.
Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan
merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun,
bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini
dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin
perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat
menguasai setiap mata pelajaran anda.
Merancang
Program Mengulangkaji
-
Buat jadual
ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga
masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran,
anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya
5 minit.
-
Tumpukan pada
topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan)
tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
-
Semak contoh-contoh
soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan
yang diperlukan.
-
Ulangkaji dengan
cermat setiap mata pelajaran.
-
Sediakan nota-nota
ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.
-
Buat rangka
jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan
peperiksaan yang lepas.
-
Latih diri
anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang
telah ditetapkan.
-
Rujuk kepada
guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
-
Jangan sekali-kali
ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip
penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.
Pembahagian
Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji
Mata Pelajaran Yang Anda
Lemah
-
Cuba sedaya upaya
kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
-
Banyakkan bertanya
kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda
Kuat
-
Jangan ambil mudah
walaupun anda fikir sudah menguasainya.
-
Beri masa yang
secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
-
Bila hampir hari
peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah
menilai
sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut ini
dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan
anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.
1. Penilaian
Dari Ujian dan Latihan
Ujian / Peperiksaan
yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman
dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan
keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap
penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan
ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi
peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.
2. Penilaian
Dari Contoh Jawapan
Anda juga
boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh
jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan
anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat
pembaikan sewajarnya.
3. Penilaian
Secara Lisan
Contohnya,
seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara
lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.
Mengatasi Kelemahan
Mencari
Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu
mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan
ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan
yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem'
(suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada
sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.
Sebab-sebab kesalahan
berlaku:
Anda Tidak
tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
Penyelesaian:
Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
Anda Tidak
faham - Anda baca tetapi tidak faham.
Penyelesaian:
Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
Anda Keliru
– Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau
fahami.
Penyelesaian:
Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan
dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Anda Lupa
- Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah
anda pelajari.
Penyelesaian:
Kerapkan ulangkaji.
Anda Cuai
–
Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian:
Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab
Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum
menjawab.
Umumnya, kelemahan-kelemahan
anda boleh diatasi dengan:-
-
Segera / selalu
bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
-
Mendapatkan jawapan-jawapan
yang betul bagi jawapan yang salah.
-
Mengulangkaji
dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
-
Memahirkan diri
dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.