| Artikel
Motivasi Kejayaan Diri |
7 Ciri Cemerlang
Orang yang Positif
Oleh Taidin
Suhaimin
Artikel
motivasi ini memaparkan ciri-ciri, sikap-sikap dan sifat-sifat cemerlang
orang-orang yang positif.
|
 |
|
1. Orang yang bersikap
positif semakin tercabar, semakin kuat
Seseorang
yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh
keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan.
Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena
api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!
Dr. Mahathir
Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak
masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam "exhaust
pipe", semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah
habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan!
Itulah yang amat kita kagumi mengenai YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad; semakin
tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi keperibadian dan idea-idea
beliau. Dunia juga amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran
Dr. Mahathir.
2. Orang yang positif
melihat
peluang dalam kegawatan
Orang yang
negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang
positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!
Kisah hidup
Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan
Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina
dari Greek untuk membina penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun.
Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak
syarikat muflis. Tetapi, Onassis telah nampak suatu peluang. Ia sedar yang
tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal
tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil
tentera Amerika itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit
pindaan, kapal-kapal itu sudah boleh digunakan. Ia telah gunakan kapal-kapal
tersebut untuk mengangkut barang-barang dan minyak untuk diperdagangkan.
Onassis telah dapat melihat peluang dalam kegawatan. Manakala, orang lain
lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.
3. Orang yang positif
sentiasa
berusaha bersungguh-sungguh
Seseorang
yang positif berpegang kepada falsafah bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung
manakan dapat sagunya. Ianya didorong bersama semangat tidak mudah putus
asa dan bekerja keras! Seperti kata pepatah Arab, “Barangsiapa yang
berusaha dia pasti akan berjaya. Barangsiapa yang bercucuk tanam maka dia
akan dapat menuai hasilnya.”
Fokusnya ialah
untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkannya untuk berjaya serta mencapainya
dengan penuh keberanian dan kesungguhan.
Semangat waja
Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi. Menurutnya, untuk mencapai
kejayaan, kita perlu membuat dua perkara:
Pertama:
TETAPKAN
SATU MATLAMAT BESAR
Kedua: MENCAPAINYA
DENGAN PENUH KEBERANIAN!
Untuk penjelasan
sila klik
di sini.
4. Orang yang positif sentiasa
mencari jalan memperbaiki diri
Kecemerlangan
diri tidak ada batasan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mencari jalan
memperbaiki prestasi diri sendiri. Apa yang dilihat sebagai terbaik hari
ini mungkin dinilai sederhana saja sepuluh tahun akan datang.
Peter Drucker,
seorang profesor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: "Pengurus yang
berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan
apa yang orang lain patut buat untuk dia."
Orang yang
positif bertanggungjawab kepada diri sendiri serta tindakan-tindakannya
- berdikari. Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan
untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk
membaiki kehidupannya.
Dengan sikap
seperti ini, setiap orang boleh berjaya. Malah dengan bersikap demikian
juga, dapat pula ia membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga
dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan
untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk
perkara-perkara yang membina.
5. Seseorang yang positif
tidak
menyalahkan keadaan
Seseorang
yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah
atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan
itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.
Napoleon, yang
kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermain-mainkan oleh
rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar. Tambahan pula, Napoleon
ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak
begitu penting oleh orang-orang Perancis. Kerana itu, Napoleon telah berazam
untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada mereka.
Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya,
beliau menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya,
serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi
panglima terkenal.
6. Orang yang positif
mendengar
dahulu pendapat orang lain
Orang-orang
yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan
terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman
tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang
mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang
lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.
Presiden Abraham
Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah
digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat
Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton
mengapa ia berkata begitu? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln
memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan
kerajaan Amerika. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu,
lalu terus menarik balik rancangannya tadi.
Sebaliknya,
Presiden Suharto (Indonesia) yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa
dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada
masyarakat Indonesia, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan
yang amat mengaibkan.
Inilah juga
yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin di negara kita sekarang
ini. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan
mata, hati, dan fikiran terhadap setiap rintihan rakyat (pengundi) sama
ada yang tersurat atau tersirat. Jika ini dapat diamalkan, insyaAllah rakyat
akan merasa sentiasa terbela dan terus memberi sokongan. Jika
tidak, rakyat boleh bertindak balas! Rakyat
adalah pelanggan yang mesti diberi layanan yang cemerlang dan kepuasan
oleh pemimpin (wakil rakyat).
7. Orang yang positif
sentiasa
bangun apabila terjatuh
Boleh dikatakan
bahawa setiap orang yang mencapai kejayaan pernah jatuh bukan sekali, malah
beberapa kali, tetapi, mereka ini dapat bangun semula daripada kejatuhan.
Mereka tidak mengalah. Setiap kali jatuh, setiap kali juga mereka bangun
semula dan terus gigih bertatih untuk lebih mantap berjalan. Biarpun banyak
kali jatuh, banyak kali juga kita perlu bangun.
Kunci kejayaan
mereka ialah bukan sedalam mana mereka jatuh, tapi sekuat mana kemampuan
mereka melantun dan berdiri semula pada kedudukan lebih tinggi berbanding
sebelumnya.
Allah sudah
menyatakan dalam Al-Quran betapa nasib seseorang itu tidak akan berubah
melainkan dia sendiri berusaha mengubahnya.
"Orang yang
penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut."
Bidalan
- Pepatah Melayu; Penjelasan:
Penakut
tidak dapat apa-apa.
| Download Free Motivational Tips
in Audio By Taidin Suhaimin |
Click
here to email this page to a friend.