| Artikel
Motivasi Kejayaan Diri |
Artikel motivasi
ini menjelaskan langkah-langkah, cara-cara, kaedah-kaedah, strategi-strategi,
teknik-teknik, tip-tip, panduan-panduan atau rahsia-rahsia mencapai matlamat
dan kejayaan yang anda impikan.
Untuk mencapai
matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu
kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya
seperti berikut:
1. Wujudkan Keinginan
Anda Sebesar Mungkin
Keinginan
tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan. Bagaimana menyemarakkan
keinginan anda? Duduk dan tulis semua keinginan anda. Nyatakan faedah-faedah
dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu. Fikir dan tulislah
sepuas-puasnya. Apabila senarai anda menjangkau 50 hingga 100, suatu bentuk
perasaan atau semangat pada diri anda akan timbul. Teruskan. Anda akan
mula menjadi lebih bersemangat. Jika anda terus menulis dan menghayati
segala matlamat anda itu, semangat anda akan bertambah menyala, berapi-api!
2. Tuliskan Matlamat-Matlamat
Anda
TULIS matlamat-matlamat
anda di atas sehelai kertas. Jika anda tidak tulis, ia hanya akan menjadi
angan-angan sahaja. Salinkannya ke dalam Buku Matlamat anda. Ini PENTING,
kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjadi perkara yang penting bagi
anda. Dengan berbuat demikian juga, ia akan mula meresap ke dalam minda
separa sedar anda.
3. Tetapkan Bila dan Tempoh
Pencapaian Matlamat Anda
TETAPKAN
bila matlamat tersebut mesti anda capai. Kaji tahap atau kedudukan anda
sekarang berbanding dengan apa yang anda inginkan. Kira dan tentukan berapa
banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu.
4. Tangani Halangan
1) Kenalpastikan
halangan-halangan yang perlu anda atasi.
2) Tumpukan
kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai
matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat
atau badan-badan tertentu.
5. Buat Perancangan
Gunakan semua
butir pada langkah 3 dan 4. RANCANGKAN tindakan-tindakan anda. Senaraikan
semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya. Perbaiki senarai anda; optimumkannya,
sempurnakannya. Ingatlah pesan Peter Drucker, seorang guru pengurusan yang
pernah berkata: Cara terbaik meramal masa hadapan ialah dengan meWUJUDkannya.
(The best way to predict the future is to create it).
6. Gambarkan Kejayaan
Pada Minda Anda
Letakkan suatu
Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang
anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas dan terang pada
mata minda anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di
fikiran anda. Ingatlah bahawa: "Orang yang berjaya dalam hidup adalah
orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang."
- Cecil B. DeMille. Ingatlah juga kata Mahatma Gandhi: Seseorang
itu adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan
menjadi".
7. Baki 90% Adalah Usaha
dan Keazaman Anda
Sokong rancangan
anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS
ASA (Persistence). Tekadkan semangat. Tumpukan kepada kejayaan.
Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat
anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan. Bulatkan hati dan fikiran.
Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran. Lakukanlah tindakan-tindakan
proaktif dan produktif.
InsyaAllah,
dengan diiringi doa, keazaman, disiplin yang tinggi serta usaha gigih,
anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.
Click
here to email this page to a friend.
(Hakcipta
Terpelihara) 2008, Taidin Suhaimin
http://www.taidinsuhaimin.com
Taidin Suhaimin
adalah
salah seorang perunding motivasi terkemuka di Malaysia. Juga seorang penulis,
beliau telah menyampaikan program-program pembangunan sumber manusia di
lebih 150 organisasi di Malaysia, Singapura dan Brunei serta menerusi Radio
Sabah dan TV1 Malaysia.